
“Hidup ini singkat tetapi filem itu panjang” antara ungkapan yang diludah keras daripada pengarah filem radikal; U-Wei Haji Saari dalam sesi diskusi semasa pelancaran buku Pemberontak Filem 2.

8 Jun 2022, bertempat di Pentas Utama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) telah menjadi saksi akan pelancaran buku tersebut. Buku kedua hasil tulisan amarah Nasir Jani adalah kesinambungan daripada buku Pemberontak Filem yang memuatkan puluhan artikel Nasir Jani mengenai industri perfileman Malaysia.

Turut hadir sebagai panelis pada majlis ini ialah Namron, seorang pengarah filem dan Bapa Animasi Negara, Hassan Mutalib yang juga merupakan seorang pengarah filem.
Selain bercakap soal buku keluaran terbaru Nasir Jani, moderator juga bertanyakan soalan berkaitan situasi industri filem negara kepada para panelis yang hadir. Antara tajuk yang disentuh adalah keghairahan FINAS dalam mengejar Oscar.

Menurut Namron, kesemua isu yang berlegar dalam industri hanyalah politik, yang hanya dibentang di atas meja. Memetik daripada pandangan Namron, penggiat filem mahupun pengkarya rata-ratanya tidak ambil peduli soal anugerah atau duit sekalipun.
Yang diidamkan oleh seorang pengkarya adalah kebebasan. Kebebasan dalam berkarya dan tidak disekat hasil karya-karya mereka.

Pandangan Namron disambut baik oleh panelis yang lain. Nasir Jani juga menyatakan hasrat yang sama sekaligus menegaskan bahawa idea-idea ini telah dinukilkan dalam naskhah terbarunya; Pemberontak Filem 2.

U-Wei pula menegaskan bahawa penggiat seni harus terus melawan untuk mempertahankan seni mereka. U-Wei berpesan kepada pembikin filem bahawa hasilkan filem yang bagus yang tak lekang ditelan waktu. Seperti yang diungkapkan sekian tadi “hidup ini singkat tetapi filem itu panjang”.
Turut bersama dalam membantu menjayakan acara ini adalah SIAR, selaku rakan media yang hadir membuat liputan untuk sesi diskusi dan pelancaran buku. SIAR yang bertanggungjawab mengembalikan semula filem Kembara Seniman Jalanan arahan Nasir Jani dengan kualiti HD.



Setelah hari keenam acara PBAKL berlangsung, buat julung kalinya muzik blues telah mencemar duli di dewan WTC itu sebagai penutupan acara. Ito Mohd (Blues Gang) tetap utuh dan masih berjaya memuka para hadirin sehingga ke penghujung acara. Turut mengiring persembahan ialah Tok Ghani (Blues Gang) dan Kid Afero masing-masingnya selaku pemain keyboard dan guitar.
Majlis bersurai dengan sedikit santap-santapan, ditaja murni oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM).
Penulisan artikel oleh Izzat Amir @heyizzat