
Rocketman merupakan sebuah filem yang mengisahkan tentang seorang penyanyi yang terkenal pada zaman dahulu iaitu Elton John. Diarahkan oleh Dexter Fletcher dan Lee Hall sebagai penulis skrip, filem Rocketman ini juga dibintangi oleh Taron Egerton sebagai Elton John. Dibantu oleh Dallas Howard sebagai ibu Elton, Jamie Bell sebagai Bernie Taupin dan Richard Madden sebagai John Reid. Filem ini telah keluar di layar perak pada 31 May, 2019. Filem biografi muzikal ini telah mendapat sambutan yang mengujakan daripada orang ramai. Hal ini dapat dilihat melalui undian di sebuah website atas talian yang dikenali, Rotten Tomatoes.


Bagi pengetahuan semua, filem ini sebenarnya telah dimulakan produksi sejak tahun 2000 dan diarah oleh Michael Gracey dan juga dibintangi oleh Tom Hardy. Namun, atas sebab-sebab tertentu, Michael Gracey dan Tom Hardy meninggalkan produksi dan penggambaran sebenar filem ini telah bermula pada pertengahan tahun 2018 dengan Dexter Fletcher sebagai pengarah dan Taron Egerton sebagai Elton John.
Filem ini mengisahkan tentang seorang pemain piano yang mempunyai sifat pemalu dan telah berkolaborasi bersama seorang penulis dan penyanyi lagu iaitu Bernie Taupin. Reginal Dwight merupakan nama asal bagi Elton John sebelum dia menukarkan namanya itu demi menjadi salah seorang penyanyi pop legenda di dalam sejarah. Elton telah menunjukkan minatnya terhadap muzik berharap agar dia dapat membuat persembahan untuk ayahnya. Malangnya, ayah Elton tidak begitu ‘berminat’ dengan anaknya sendiri.

Pada permulaan filem, Elton telah teringat kembali tentang kisah lampau hidupnya. Pada ketika itu, dia sedang menjalani sesi pemulihan diri di sebuah pusat pemulihan dadah. Dibesarkan oleh ibunya, Sheila Eileen, Elton pada mulanya menyertai sebuah band yang menjadi ‘back up’ kepada band America yang sedang menjalani tour. Dia telah bertemu dengan Bernie Taupin dan telah menulis pelbagai lagu. Kemudian bertemu dengan John Reid yang menjadi pengurusnya. Bersama Bernie Taupin dan juga John Reid, Elton telah menjalinkan hubungan bersama kedua-duanya oleh kerana Elton telah mengakui bahawa dia seorang homoseksual.
Taron Egerton berjaya membawa watak Elton walaupun Elton merupakan seorang homoseksual. Ia memerlukan keberanian serta keyakinan yang tinggi daripada seorang pelakon untuk menjadikan perwatakan watak sebegitu berjaya dilakonkan. Pujian harus diberi kepada Taron Egerton.

Dia juga berjaya menggambarkan bagaimana peritnya kehidupan Elton John yang masih menagih kasih ayahnya sendiri walaupun sudah bergelar seorang artis yang cukup terkenal. Dia berjaya menyampaikan emosi itu kepada para penonton.
Walaupun filem ini banyak menunjukkan babak-babak yang tidak senonoh seperti dadah, secara keseluruhannya, ia berjaya menyampaikan maksud yang positif kepada para penonton. Bagaimana seorang artis pop mengatasi tekanan hidup yang dihadapi oleh dirinya, mengapa dia memilih jalan sebegitu serta sesuatu yang begitu diharapkan olehnya tidak dapat tertunai walaupun dia sudah mencapai cita-citanya. Secara tidak langsung, filem ini telah menunujukkan pahit manis disebalik kejayaan Elton John.
Terus bertenaga Elton John!
Artikel oleh @HamidHafiz3