Categories
Author

Penulis Rabak-Lit: Radhi OAG

“Sahutkah juwita disurikan beta ke hujung hayat, hingga di hujung mayat” Infiniti- Radhi-O Mohd Radhi bin Razali, atau lebih dikenali sebagai Radhi OAG merupakan seorang yang telah bertanggungjawab dalam membangunkan muzik-muzik indie di tanah air kita. Dia dan juga OAG sudah terlampau sinonim di dalam negara kita sejak tahun 1992 lagi dimana pada tahun itu kumpulan OAG baru ditubuhkan. Walau bagaimanapun, jodoh ahli kumpulan lain kumpulan OAG bersama Radhi tidak begitu panjang. Hal ini demikian kerana Radhi telah terlibat dengan Pusat Pengasih Malaysia dan menyebabkan kumpulan OAG berundur seketika daripada kegiatan muzik.

Namun begitu, setelah Radhi Berjaya merekrut ahli-ahli baru pada tahun 2012, kumpulan ini sekali lagi telah mewarnai kancah muzik tanah air kita dengan lagu-lagu indie mereka. Selain daripada mempunyai suara yang dikategorikan unik, Radhi juga mempunyai bakat berlakon. Radhi pernah muncul dalam rancangan Radhi Study Go! Dan juga menjadi watak utama dalam filem Antoofighter. Sudah menjadi lumrah seorang manusia yang tidak lari dari melakukan sebarang kesilapan. Begitu juga Radhi, seperti yang telah dinyatakan bahawa dia telah terlibat dengan Pusat Pengasih Malaysia kerana dia juga pernah terjerumus dalam dunia dadah. Namun, pujian harus diberikan kepada Radhi sendiri kerana dia sedar akan kesilapannya dan mula memikirkan jalan untuk keluar dari jalan gelap itu iaitu dengan melibatkan diri dengan Pusat Pengasih.

Memuatkan segala kisah pahit manis hidup seorang Radhi, dia telah menulis sebuah buku tentang dirinya yang bertajuk Radhio Radhikal: Seksa, Dada, dan Rock n Roll. Di dalam buku ini, Radhi telah menceritakan tentang zaman jatuh bangun hidupnya serta penglibatannya dalam dunia muzik dan juga menerangkan apa maksud Indie. Dalam pada itu, penulisannya di dalam buku ini dapat membuka mata orang ramai tentang jalan hidupnya yang masih belum diketahui ramai. Selain dapat mengetahui kisah pahit manis Radhi sendiri, secara tidak langsung juga Radhi telah sedikit sebanyak membantu orang ramai dari dalam meneruskan kehidupan setelah menghadapi pelbagai pahit getir hanya melalui sebuah buku. Walaupun telah banyak lagu nyanyiannya menjadi penyeri hidup, Radhi juga berjaya menunjukkan bahawa dia layak  menjadi role model melalui penulisannya dalam Radhio Radhikal: Seksa, Dada dan Rock n Roll.  

Hidup Radhi!