Paris. Dengar sahaja perkataannya pastilah membuatkan anda semua membayangkan anda di situ terutama di Menara Eiffel.
Siapa sahaja yang tidak mahu ke Paris? Pusat bandar peradaban budaya dunia dan merupakan sebuah kota cinta untuk pasangan-pasangan yang mahu bermadu di sana.
Begitu juga dengan filem Midnight In Paris yang merupakan sebuah filem fantasi romantik tentang seorang penulis skrip yang bertukar menjadi penulis novel iaitu Gil Pender (Owen Wilson) dan kekasihnya iaitu Inez (Rachel McAdams).
Kisah ini bermulanya dengan Gil dan Inez yang menemani ibu bapa Inez untuk berniaga sementara mereka berdua pergi bercuti. Pada suatu hari, mereka bertemu dengan Paul (Charlie Sheen) dan Carol (Nina Arianda) yang merupakan sebuah pasangan dan kawan lama kepada Inez. Selepas menghadiri sebuah pesta, Inez, Paul, Carol memutuskan untuk berjalan-jalan tetapi Gil membuat keputusan untuk pulang sendirian kerana tidak mahu menganggu keseronokan rakan-rakannya itu.
Semasa Gil sedang berjalan berseorang di kota Paris itu, dia tiba-tiba sesat dan sebuah kereta lama menghampirinya. Pemandu kereta lama itu menjemputnya untuk menaiki kereta itu dan mereka pun menghadiri sebuah pesta bersama penumpang yang lain. Di sana, Gil merasakan sesuatu yang aneh kerana pakaian tetamu yang agak kuno dan dia juga melihat orang-orang yang sudah meninggal dunia di situ. Akhirnya, Gil telah perasan bahawa dia sudah memasuki masa yang lalu iaitu pada tahun 1920.
Dalam keindahan filem ini, kita akan didedahkan dengan muzik yang mengalir dengan sedih. Diiringi dengan muzik jazz yang memukau.
Kita akan melihat keindahan Paris di dalam filem ini dengan keindahan bandar itu dari pagi sehingga malam terutama Menara Eiffel yang berkilauan cantiknya. Filem ini membawa kita mengimbau kembali ke zaman kegemilangan Paris dengan mengenang satu per satu sejarah seni dunia.
Walaupun semua keindahan di dalam filem ini boleh dilayari di laman Google, namun filem Midnight In Paris membuktikan ianya adalah sebuah filem romantik fantasi yang mampu membuatkan anda untuk tidak bangun dari tempat duduk!
Artikel oleh: @ArifAzyy
(retrieved from Rabak-Lit’s Twitter, revised)