Categories
Arts

La Sagrada Família


Geng. Pernah dengar tak tentang bangunan Sagrada Família ni? Bangunan yang dibina sejak 1882 namun masih belum siap hingga ke hari ini. Biar betul? Jom baca.


Basílica i Temple Expiatori de la Sagrada Família atau Sagrada Família merupakan satu contoh kejayaan penyatuan antara kepentingan seni dan hubungan manusia dengan Tuhan. Sebenarnya, ia adalah sebuah gereja roman Catholic terbesar yang terletak di Barcelona, Catalonia, Sepanyol.

Bangunan yang mempunyai keluasan 5400 meter per segi dan ketinggian 170 meter ini merupakan hasil rekaan daripada seorang arkitek bernama Antoni Gaudí. Pada asal waktu, bangunan ini merupakan inspirasi daripada pengasas Persatuan Pengaruh Rohani St. Joseph bernama Josep Maria Bocabella. Josep berniat untuk membina sebuah gereja kerana terinspirasi oleh basilika di Loreto setelah pulang dari melawat Vatican pada tahun 1872.

Pembinaan bermula pada tahun 1882. Pada masa itu, pembinaan bangunan ini berada di bawah pengawasan seorang arkitek bernama Francisco de Paula del Villar y Lozano. Setahun kemudian, Francisco telah meletakkan jawatan dan diambil alih oleh Antoni Gaudí.

Pada tahun 1884, Antoni telah dilantik sebagai Direktor Arkitek dan beliau mengambil keputusan untuk mengubah projek pembinaan ini mengikut gaya seni bina dan kejuruteraannya sebagaimana yang kita lihat pada hari ini.

Sagrada Família in 1897.
Photo source: Rare Historical Photos.

Antoni Gaudí menghembuskan nafas terakhir pada tahun 1926. Ketika itu, pembinaan bangunan ini telah siap dalam 15 hingga 25 peratus sahaja. Walaubagaimanapun, pembinaan tetap dijalankan dan hanya bergantung kepada sumbangan persendirian. Dalam tempoh tahun 1936 hingga 1939, pembinaannya ditangguhkan disebabkan oleh perang saudara Sepanyol. Hampir 70 tahun kemudian, pembinaan bangunan ini telah siap sebanyak 50 peratus, bantuan daripada kemajuan teknologi pada tahun 2010.

Apa yang menarik tentang bangunan ini ialah ia bukan sahaja kelihatan klasik malah ukiran-ukiran, patung-patung dan hiasan berupa mozek juga sangat unik dan mempunyai simbol-simbol yang tersendiri.

Melihat pada ketelitian pada patung-patung yang terletak di hadapan dan belakang bangunan ini, ia jelas menunjukkan bahawa penciptanya mempunyai kemahiran yang sangat tinggi. Bagaimana karya seni bina ini dapat dicipta dengan begitu indah?

Pada bangunan ini, terdapat perhiasan kaca pada pintu dan apabila cahaya menembus, akan terhasil sebuah perpaduan warna-warni yang memukau. Antoni sememangnya mempunyai pandangan yang jauh dengan memasukkan unsur alam (cahaya) sebagai keindahan yang menerangi seluruh bahagian dalam bangunan itu. Berdasarkan bentuk-bentuk patung, ukiran hiasan dan kaca jendela pula, jelas bahawa pembinaan bangunan ini banyak menggunakan gaya Art Deco. Antoni banyak mengikuti gaya seni ukiran dari Michelangelo.

Mid-afternoon sunlight bathes the nave with colour
Photo source: BarcelonaLowDown

Corak hiasan geometri dan susunan batu serta ukiran yang sangat terperinci menunjukkan bahawa pengukir merupakan seorang yang genius. Setiap orang yang melihatnya pasti akan timbul rasa ingin tahu. Terdapat banyak hiasan di sisi tingkap kaca lurus dan tegak. Ini menunjukkan bahawa selain menjadi tempat suci bagi agama Kristian, ia juga dilihat sebagai sebuah karya seni bina di seluruh negara.

Bangunan ini dikatakan tidak akan siap sehingga tahun 2040 tetapi ia dijangka bakal siap pada tahun 2026.


Artikel oleh @paizsano

(retrieved from Rabak-Lit’s Twitter, revised)