“Setakat ini, art adalah kekasih aku yang paling setia dan belum pernah mengkianati.”
Mohd Jayzuan
Bercakap soal dunia indie rock di Ipoh, nama Mohd Jayzuan tidak lagi asing bagi peminat muzik indie underground.
Jayzuan merupakan seorang penyanyi, pemuzik, penyajak dan penulis yang sudah lama berada dalam scene indie underground di Malaysia. Selain itu, Jayzuan juga pernah menjayakan satu watak di dalam sebuah filem indie pada tahun 2008. Boleh dikatakan bahawa Jayzuan memang seorang yang berbakat besar dan berjiwa seni. Darah ‘art’ nya sentiasa mengalir dalam diri sehinggakan telah banyak pencapaian yang dapat diperolehinya. Jayzuan merupakan seorang penulis dan sudah menulis beberapa buah buku termasuk buku yang bertajuk Jalang Indie Rock.
Buku Jalang Indie Rock ini boleh dikatakan buku yang terkandung segala kisah hidupnya. Sebuah buku autobiografi Jayzuan yang ditulis sendiri olehnya ini menceritakan segala tentang dirinya yang sebelum ini tidak pernah diceritakan olehnya. Sebuah buku yang padat dengan impian, cinta, perjalanan masam manis Jayzuan, pendedahan rahsia-rahsia gelap dan pengakuan-pengakuan yang tak pernah dikhalayakkan. Jalang Rock Indie ini sememangnya adalah untuk anak-anak indie yang sejati dan merdeka. Buku ini mempunyai sejumlah 151 muka surat yang mana di dalamnya terkandung 14 tajuk besar termasuk prakata dan pengenalan. Setiap tajuk-tajuk besar ini mempunyai jalan cerita yang berbeza-beza namun saling berkait antara satu sama lain. Setiap helaian muka surat buku ini pasti akan membuka mata pembaca dengan mengenali siapa Mohd Jayzuan ini dengan lebih dekat dan mendalam.
Mohd Jayzuan yang tidak pernah penat untuk memerdekakan Rock N’ Roll.
Bagi peminat tegar indie rock, pastinya kalian akan merasakan bahawa kalian tidak cukup indie dan rock jika kalian tidak pernah membaca buku Jalang Indie Rock ini. Setiap tajuk besar yang ada di dalamnya membawa pembaca ke cerita yang berbeza-beza.
Salah satu tajuk besar adalah “Profesional Slacker”. Cerita ini mengisahkan tentang Jayzuan menulis buku ini dan berkongsi kisah tentang penyakit yang sedang dihadapi olehnya. Dia meluahkan perasaan benci pada dunia yang kejam ini.
Selain itu, Jayzuan juga menulis tentang permulaan karier muzik beliau di bawah tajuk “Bodysurf Music”. Beliau menceritakan semula pengalaman pertama kali memasuki ke dalam Bodysurf yang terletak di Ipoh dan mula hidup rock n’ roll di situ. Jayzuan juga ada menceritakan tentang sebuah band yang langsung tidak dikenali, pertama kali dilihat pada sticker. Dia mencari tahu sehingga akhirnya menjumpai album milik band itu dan terus meminatinya sebaik sahaja Jayzuan hanyut dalam alunan muzik band itu. Terdapat banyak lagi tajuk-tajuk besar yang ada antaranya ialah Free Love & Lo-Fi, Fasa Singer-Songwriter, Menjadi Penulis, Projek Rabak, Kurator, Komuniti & Youth Culture, Filem, Mengembara, Ganja, Lsd & Pop, Riri dan Jalang Indie Rock.
Suatu hari nanti, Ipoh perlu berterima kasih kepada Jayzuan. Jadi, kepada rakan indie rock yang benar-benar hidup dalam dunia indie rock, buku Jalang Indie Rock ini sangat sesuai untuk kalian. Jangan tunggu-tunggu lagi, ayuh dapatkan buku Jalang Indie Rock sekarang juga.
Artikel oleh @paizsano