Karena peradaban takkan pernah mati, walau diledakkan, diancam ‘tuk diobati (Peradaban, .Feast)
.Feast, sebuah band dari Jakarta pasti tidak asing lagi bagi peminat-peminat tegar musik indie rock terutama di kalangan Gen Z.

.Feast terdiri oleh Baskara Putra, Adnan S.P, Dicky Renanda, F. Fikriawan dan Adrianus Aristo Haryo. Band rock yang berasal dari Jakarta ini bermula dari sekumpulan mahasiswa FISIP Universiti Indonesia. Pada mulanya, mereka mencipta sebuah lagu yang berjudul “Camkan” pada tahun 2014. Karya mereka yang bernama “Camkan” itu membawa maksud sebagai halangan dalam kebebasan memilih agama di Indonesia. Band ini pernah merancang untuk membuat satu album berjudul Conviction tetapi mereka tidak dapat meneruskan kerjaya mereka selama satu tahun itu.
Setahun selepas itu, .Feast kembali muncul di pentas dunia hiburan dengan mengeluarkan sebuah lagu berjudul “Wives of ゴジラ/Gojira (We Belong Dead)”. Lagu itu juga dicipta hasil mereka bekerjasama dengan Janitra Satriani pada tahun 2017. Pada tahun yang sama, .Feast telah mengambil Yudhis, seorang ahli band dari kumpulan muzik Rachun untuk bersama-sama menjayakan lagu mereka yang berjudul “Sectumsempra”.
Pada 18 September 2017, .Feast dapat memenuhi impian mereka untuk memiliki album sendiri. Dengan kerjasama itu, mereka dapat melancarkan album Multiverses ke pihak umum. Pada tahun 2018, .Feast telah berjaya mengembangkan muzik mereka dengan mencipta satu lagi single bertajuk “Peradaban” pada 13 Julai dan “Berita Kehilangan” pada 10 Ogos.
Dalam lagu mereka yang bertajuk “Berita Kehilangan” itu, .Feast menceritakan tentang kesedihan kerana jenayah yang terus berleluasa di Indonesia seperti kes rogol, pengganas dan rusuhan yang melampau. Kritikan terhadap isu-isu lain juga diutamakan oleh .Feast melalui lagu “Kami Belum Tentu” yang dilancarkan pada bulan September 2018. Lagu ini menggambarkan keadaan anak-anak muda pada hari ini yang kebanyakannya tidak mengambil berat tentang isu politik di negara mereka sendiri.
Pada tahun 2019, .Feast kembali mencipta beberapa lagu lagi seperti “Dalam Hitungan”, “Kelelewar”, “Tarian Penghancur Raya” dan “Gelora”. Lagu-lagu ini juga membawa tema tentang ketagihan kepada media sosial, masalah negara dan kebakaran hutan yang semakin kerap berlaku.
.Feast membuat lagi beberapa lagu yang berjudul “Luar Jaringan”, “Di Padang Lumpuh” dan melancarkan album mereka yang pernah dibuat sebelum ini iaitu Multiverses (Revisi Final Fix Banget). Album ulangan mereka itu mempunyai sedikit perubahan dari segi muzik dan sistem teknikal.
Pada pandangan .Feast, setiap orang mempunyai selera muzik yang berbeza dan hal ini tidak boleh dipaksakan untuk mereka minat sesuatu muzik itu atau tidak. .Feast membuktikan bahawa mereka adalah sebuah kumpulan yang mempunyai pemuzik yang berbakat dan mereka dapat membangkitkan masalah sosial dengan cara yang menyenangkan dan sindiran.
Teruskan karier kalian, .Feast dengan lagu-lagu penuh dengan mesej yang dapat disampaikan kepada pihak umum!
Artikel oleh @ArifAzyy
(retrieved from Rabak-Lit’s Twitter, revised)