Categories
Album

Debut Show Awang Samrow, Bersama Album Pertama

Awang Samrow bakal membuat persembahan debut dan listening party bertempat di Live Fact Kuala Lumpur pada 31 Julai 2022 sempena pelancaran album pertamanya bertajuk “Pok Snahu”.


Awang Samrow bakal membuat persembahan debut dan listening party bertempat di Live Fact Kuala Lumpur pada 31 Julai 2022 sempena pelancaran album pertamanya bertajuk “Pok Snahu”.

Awang Samrow adalah projek eksperimen solo Fahmi Samsudin dari Terengganu. Fahmi telah bergiat aktif di dalam scene muzik indie Malaysia sejak tahun 2014, lebih dikenali sebagai vokalis kumpulan duo elektro pop, Kyogg serta daripada kumpulan Plong!.

Fahmi sedar akan kekurangan lagu-lagu Melayu dari segi lirik berloghatkan Terengganu dalam muzik moden tempatan sama ada dalam muzik mainstream atau daripada scene underground. Jadi, Awang Samrow ditubuhkan sebagai suatu identiti bertujuan membawa muzik loghat Terengganu ke hadapan serta mempamerkan dan memelihara budaya dan tradisi tanah air melalui penulisan lirik beliau agar ia kekal dalam dunia moden.


POK SNAHU: THE ALBUM

Album Pok Snahu mengandungi tujuh buah lagu dinyanyikan dalam loghat Terengganu berbaki tiga dalam bahasa Melayu. Lagu-lagu itu banyak dipengaruhi oleh keberadaan beliau di Pantai Timur sepanjang waktu zaman kanak-kanak sehingga besar.

Berpaksikan genre neo-psychedelic, Fahmi juga menyelitkan muzik etnik ke-Melayu-an ke dalam lagu-lagu tersebut, disusun dan dihasilkan oleh penerbit muzik ternama dari Luncai Emas, Mohd Yasin Nasir (Pitahati, Margasatwa, dll.).

Selain itu, Eff Hakim (Pastel Lite, Yuna Records) turut terlibat dalam sebuah lagu kolaborasi bersama Fahmi.

Album Pok Snahu bukan sahaja menyebarkan loghat Terengganu ke dalam lembah muzik Melayu malah menyampaikan pesanan-pesanan serta kesedaran kepada para pendengar mengenai adat dan budaya dari negeri Terenggangu. Rakaman album ini bermula pada Ogos 2021 dan dijangka siap sebelum 1 Jun 2022 untuk sesi mix-and-mastering.

Fahmi Samsudin juga pernah dijemput ke beberapa acara global untuk membuat persembahan Awang Samrow, antaranya di STEAR’s Virtual Global Village Event, Artivism iloilo (Philippines), dan Artdialogo Asia. Hal ini membuktikan bahawa nama dan kejayaan Awang Samrow sudah terbina sebelum beliau melancarkan lagi albumnya.

Persembahan debut Awang Samrow akan berlangsung pada 31 Julai 2022, jam 6:30 P.M. di Live Fact Kuala Lumpur bersama jemputan khas oleh kumpulan Runs, Hawa dan Monotones. Tiket berharga RM45 sahaja dan boleh didapati di bio Instagram @awangsamrow.


Penulisan Artikel oleh @aidihkal