Program “SELOKAL-Unboxing” (Melaka, 2022)
Pada penghujung bulan Julai lepas, acara SELOKAL-Unboxing telah berlangsung selama tiga hari di SELOKAL. SELOKAL merupakan sebuah ruang acara di Tingkat 1, The Shore Shopping Gallery yang diwujudkan untuk menjadi tempat bagi acara-acar seni kreatif diadakan. Buat masa ini, SELOKAL masih dalam proses penambahbaikan. Di dalam, terdapat sebuah kafe minuman dan sebuah kedai makanan. Rabak-Lit juga telah membuka sebuah slot di dalam SELOKAL sebagai cawangan keduanya.
Seperti yang kami telah uar-uarkan dalam artikel sebelum ini, lebih kurang tujuh sesi bual yang diadakan sepanjang tempoh SELOKAL-Unboxing ini.
29 Julai 2022
Seniman yang Melawan
Pada hari pertama, jam 9.00 malam, acara bermula dengan sesi Seniman Yang Melawan. Tetamu jemputan yang terlibat adalah Nam Ron dan Pak Nasir Jani. Mereka berbicara tentang maksud “melawan” yang digunakan.
Tayangan filem “Jalan Pintas”
Sebaik sahaja acara tamat, ruangan digelapkan bagi meneruskan sesi tayangan filem “Jalan Pintas”. Jalan Pintas adalah filem indie Nam Ron dikeluarkan pada tahun 2011. Filem ini mengisahkan seorang watak lelaki bernama Bakar (lakonan Auf Razak) telah mengambil jalan pintas sewaktu dalam perjalanan untuk interview pekerjaan, namun telah menjadi mangsa keadaan kepada samseng jalanan, di-reject oleh penemuduga, masalah kewangan dan macam-macam lagi.
30 Julai 2022
Hari kedua, Bengkel Filem Untuk Melawan oleh Nam Ron bermula pada jam 10.00 pagi. Lebih kurang tujuh hingga sepuluh peserta sahaja yang hadir ke bengkel tersebut.
Puisi & Lirik Lagu
Jam 2.00 petang, sesi “Puisi & Lirik Lagu” diadakan bersama dua tetamu jemputan iaitu Mohd Jayzuan dan Fazleena Hishamuddin. Izzat Amir selaku moderator membuka sesi bicara dengan cara casual seperti bertanya sama ada mereka berdua pernah turun atau selalu perform di Melaka.
Masuk pada sesi soal jawab, apabila ditanya tentang sama ada puisi itu sesuai dijadikan sebagai lirik lagu, Jay menjawab “Boleh je, sekiranya penulis itu pandai masukkan seni kata dalam melodi lagu, okay sahaja.” Menurut Jay, seni itu tiada batas dan puisi atau lirik lagu itu hanya dua kategori yang berlainan namun tetap boleh dilagukan.
Fazleena kemudian menceritakan kisah puisinya yang menjadi sebuah lagu. Pada asalnya, lirik lagu “Terbanglah” oleh Sekumpulan Orang Gila merupakan sebuah puisi yang ditulis Fazleena tanpa mengetahui struktur muzik atau melodi terlebih dahulu. Kemudian, untuk projek lagu Pelukan Angkasa pula, melodi lagu sudah pun dicipta maka Fazleena hanya perlu menulis sebuah puisi yang bersesuaian dengan struktur lagu itu. Fazleena berpendapat bahawa puisi yang dijadikan sebuah lirik lagu bukan sesuatu masalah atau perkara yang luar biasa.
Beberapa soalan kemudian, Izzat bertanya sekiranya terdapat pengganti baharu pemuisi-pemuisi seperti Wani Ardy, Fazleena Hishamuddin atau Fynn Jamal, Jayzuan menjawab ada tetapi tidak tahu bila. Sebenarnya memang ramai pemuisi-pemuisi yang ada di luar sana cuma mereka tidak mempunyai suara mereka yang tersendiri dan mereka kurang menonjol. Kalau dilihat melalui platform sosial media seperti Twitter dan Instagram, pasti ada sahaja yang post karya-karya sama ada sajak atau puisi mereka sendiri namun mereka seakan tidak begitu benar-benar ingin mengambil langkah besar selain mencari gaya tersendiri.
Nasihat Fazleena kepada para pemuisi generasi kini adalah cari gaya atau suara masing-masing dan sentiasa rajin mencari peluang untuk perform. Performing akan menambah sifat keberanian dan juga membentuk identiti kepada diri sendiri. Selain itu, cari penerbit yang boleh membantu karya diterbitkan.
SIAR-lah Filem Lokal
Jam 4.30 petang, acara diteruskan dengan sesi SIAR-lah Filem Lokal, dikendalikan oleh Penghulu Ali serta dua orang ahli panel iaitu Pak Nasir Jani dan Ali Agung.
SIAR merupakan sebuah streaming plaftorm ditubuhkan oleh Ali Agung. Minat beliau kepada nostalgia serta filem-filem lama, beliau telah tubuhkan sebuah page di Facebook yang bertujuan untuk berkongsi video babak dalam filem-filem lama kepada orang ramai. Tidak lama kemudian, beliau berjumpa dengan kawan-kawan atau komuniti yang membantu serta memberi sokongan kepada beliau untuk sama-sama tubuhkan satu platform khas yang membenarkan filem-filem tempatan disiarkan secara digital streaming.
Menurut Ali Agung, macam-macam cabaran dan masalah berat yang dihadapi beliau untuk menjayakan platform SIAR ini. Pertama, masalah kewangan. Katanya, kebanyakan anak-anak muda kreatif ini memang ada banyak idea untuk dijayakan namun masalah kewangan akan menjadi punca kepada kegagalan usaha mereka. Kedua adalah masalah untuk berhubung dengan para producer filem-filem lama demi menyelesaikan masalah hak milik, royalti dan sebagainya. Akhir sekali, usaha beliau dan anak-anak muda lain yang ingin mengangkat hal-hal seni sering dipandang enteng oleh golongan atau masyarakat sekeliling.
Salah satu ucapan Pak Nasir yang menarik perhatian adalah:
“Dengan adanya SIAR, secara tak langsung, walaupun ia tidak mendapat sokongan daripada pihak-pihak yang sepatutnya, tetapi ada satu benda yang kita overlook. Tapi benda ini kita tidak nampak secara fizikal. Dengan adanya SIAR, menyiarkan filem, paling lama hingga kini, dalam jangka masa panjang, filem-filem yang disiarkan oleh SIAR akan mengubah sikap orang Melayu yang “I tak tengok filem Melayu.”
George Orwell dibenci oleh ahli politik
Lebih kurang jam 5.30 petang, Izzat Amir menjemput tiga orang ahli panel iaitu Kiridaren Jayakumar, Aida Harun dan ZF Zamir untuk “George Orwell dibenci oleh Ahli Politik”. Kiridaren Jayakumar adalah pemilik kepada syarikat penerbitan buku The Bibliophile dan Biblio Press, Aida Harun penterjemah buku 1984 terbitan Biblio Press dan ZF Zamir pula peminat tegar karya-karya politik seperti buku 1984.
Untuk sesi ini, mereka berbincang tentang sebab buku 1984 karya George Orwell tidak dijual dan tidak diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu di Malaysia sebelum ini. Menurut ZF Zamir, sangkaan beliau adalah hegemoni pemikiran oleh DBP. Buku-buku karya Hemingway, Tolstoy dan beberapa nama lain sudah pun diterbitkan tetapi bukan George Orwell. Seterusnya, mereka berbincang tentang penulis George Orwell itu dan kehebatan hasil kerja beliau dari segi penulisan, world-building, penciptaan watak-watak itu dan macam-macam lagi. Selain itu, mereka juga berbincang tentang kesan karya 1984 kepada sistem politik dunia dan pemikiran masyarakat.
Aida Harun dipilih kerana hasil kerja beliau sangat teliti dan beliau akan laksanakan kerja dengan sebaiknya.
Apabila ditanya tentang peringkat umur yang sesuai untuk membaca karya 1984 ini, ketiga-tiga ahli panel mencadangkan pembaca-pembaca dari kalangan murid-murid sekolah rendah dan sekolah menengah, sekitar umur 12 tahun ke atas. Pada usia ini, mereka sudah mampu untuk memahami isi karya tersebut walau keseluruhan kisah itu merupakan kisah fiction, selain membentuk pemahaman sendiri mengenai dunia politik itu sendiri.
Tayangan Filem “Layar Lara”
Pada waktu malam, sesi tayangan filem “Layar Lara” bermula lewat. Ketika itu, para pengunjung mula memenuhi ruang-ruang meja makan di SELOKAL. Tepat jam 9.15 malam, lampu digelapkan dan filem “Layar Lara” dimainkan.
Layar Lara, sebuah filem arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba, adalah sebuah filem drama dikeluarkan pada tahun 1997. Filem ini mengisahkan watak Seniwati Zai (lakonan Azean Irdawaty) dan beberapa teman seniman sebayanya (seniman tua) yang ingin berlakon dalam sebuah filem buat kali terakhir. Namun, fokus sebenar cerita ini terletak pada watak Ena Manjalara (lakonan Ida Nerina) seorang pelakon wanita muda yang egoistik, manja, kurang hormat dan tidak ambil berat terhadap kerja dan orang lain (kru filem pengarah Malik, lakonan Sidi Oraza). Dia juga telah mempermainkan hati salah seorang kru iaitu Daud (lakonan Man Bai) serta teman lelakinya (Maman dari kumpulan Teacher’s Pet). Setelah terpaksa menghadap satu situasi yang paling sukar untuk Ena terima, maka dia kemudian belajar untuk menghargai kru-kru filem dan mengambil serius dengan kerjayanya sebagai seorang pelakon.
Tambahan, filem ini turut dibintangi oleh ramai artis-artis yang ternama seperti Aziz Jaafar, Kavita Sidhu, Siput Sarawak, Aziz Sattar, Mahmud Jun dan banyak lagi. Menurut Penghulu Ali, filem ini tidak pernah disiarkan di mana-mana platform televisyen untuk tempoh masa yang lama. Filem tamat lebih kurang jam 11 malam sebelum disambung dengan diskusi pendek tentang filem tersebut.
31 Julai 2022
Meet-and-Greet Abang & Adik SOG
Sekumpulan Orang Gila adalah sebuah kumpulan muzik post-hardcore ditubuhkan oleh kembar, Raja Nazrin dan Raja Nazmin bersama rakan-rakan mereka.
Mereka amat berpengaruh dengan muzik modern metal yang mula popular pada era 2000-an seperti nu-metal, metalcore dan lain-lain.
Dalam sesi bual ini, mereka berbincang dan mengupas sedikit sejarah di sebalik penubuhan kumpulan SOG ini, tentang bagaiman Nazrin dan Nazmin belajar bermain gitar daripada abang-abang mereka, Nazmin sukarela menjadi drummer kepada SOG dan bagaimana dia mencari bunyi signature sendiri serta jenama alat-alat muzik yang dipakai mereka. Menurut Nazrin, dari segi penciptaan lagu-lagu SOG, dia akan lead bahagian melodi manakala Nazmin akan mengurus bahagian teknikal.
Apabila ditanya bagaimana SOG mengambil dan memasukkan unsur-unsur ke-Melayu-an dari segi muzik, lirik, Raja Nazrin mengambil sifat yang terdekat dengan mereka iaitu bangsa Melayu, pengalaman mereka dan orang lain dijadikan bahan inspirasi kepada, serta sejarah Melayu yang mereka belajar. Berkaitan dengan sejarah Melayu, Raja Nazmin mendedahkan bahawa arwah bapa mereka merupakan seorang pengarah muzium di Perak, jadi mereka berdua telah membesar dengan ajaran dan didikan sejarah sejak kecil oleh bapanya. Maka, ilmu yang dipelajari itu serba sedikit menjadi idea kepada tema penciptaan lagu-lagu SOG.
Sesi tamat sekitar jam 4 petang dan diteruskan dengan sesi We Are The Skin.
We Are The Skin
We Are The Skin adalah satu perbincangan tentang komuniti skinhead di yang muncul di Malaysia pada era 1990-an dan 2000-an. Azmi dan Ajo adalah antara individu yang terlibat dengan gerakan skinhead manakala Iman Ramli adalah pengkaji subbudaya skinhead.
Muzik berunsurkan rock dan fesyen sinonim dengan budaya skinhead.
Menurut pemahaman Ajo, skinhead tidak dipengaruhi dengan ideologi-idelogi politik. Mereka mempunyai pemahaman mereka sendiri seperti anti-perkauman, working class dan sebagainya. Manakala, Azmi mengupas tentang skinhead pada zaman 1980s di UK yang menjadi salah satu sebab timbul perpecahan atau perbezaan golongan yang mempunyai pandangan dan ideologi mereka yang ganas dan radikal.
Social Media: Sampahlah Content Kau!
Ahli-ahli panel untuk sesi ini adalah Josiah Hogan, seorang pelakon dan vokalis band maddame… serta Hyrul Anuar, pengarah filem “Tiga Janda Melawan Dunia”.
“Content sampah” yang dimaksudkan adalah isi dalam gambar atau video viral yang tidak membawa sebarang manfaat atau apa-apa makna, menimbulkan spekulasi, fitnah serta tetapi disebar secara meluas melalui sharing. Oleh kerana “viral”, kadang-kadang content itu diterima melalui kiraan share, likes dalam platform media sosial itu.
Dalam sesi ini, Izzat Amir berdiskusi bersama Josiah dan Hyrul tentang keadaan semasa content media sosial yang bermasalah, punca content di-viral-kan, kesan kepada masyarakat dan content creators serta platform tersebut. Selain itu, mereka juga berbincang tentang isu berkenaan advertising, kehebatan viral dan sebagainya.
Sesi tamat sekitar jam 6.30 petang.
Rabak-Lit ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada kesemua tetamu jemputan yang sudi meluangkan masa untuk turun dan menjayakan sesi bual kami, SELOKAL untuk ruang yang disediakan serta para pengunjung yang hadir bagi memeriahkan lagi acara SELOKAL-Unboxing ini.
Penulisan artikel oleh @SerabutYouth