A.C.A.B
“Biar dibasahi darah dan keringat, yang zalim pasti dilaknat…”
Local Band Highlight: A.C.A.B.
A.C.A.B. dikenali sebagai salah satu kumpulan terawal yang menggunakan genre muzik Oi! sebagai genre utama serta kumpulan skinhead dari Malaysia.
Kumpulan A.C.A.B. mula bergerak pada akhir tahun 1994 sehingga tahun 2003. Pengasas mereka merupakan Magskin dan Eddie. Penambahan ahli dibuat bagi menjayakan dan melengkapkan kumpulan ini. Mereka adalah Sham, Anas dan Black.
Pada tahun 1995, mereka mula merakamkan demo bertajuk A.C.A.B. yang mana mempunyai tujuh lagu di dalamnya. Antara lagu dalam demo ini adalah “Unfairground”, “City Girl”, “A.C.A.B.”, “Fight for Your Right” dan banyak lagi. Brovver Brigade Records merupakan label yang mengeluarkan demo tersebut. Ia juga label mereka sendiri. Demo A.C.A.B. ini berjaya dijual sebanyak 500 unit walaupun tidak dipromosi secara rasmi.
Persembahan pertama mereka mula di Dynasty Night Club. Di sini sejarah mula terukir apabila sebahagian dari pembeli demo mereka turun padang demi menyaksikaan persembahan tersebut. Ada juga yang diimport khas dari Kuala Lumpur.
Dikenali sebagai “Godfather Of Skinhead/Oi!”, mereka tidak berhenti hanya di Dynasty Night Club malah berani untuk pergi ke pelbagai pelusuk tempat.
A.C.A.B. berjaya mencetuskan revolusi baru sehinggakan wujud kumpulan-kumpulan baru yang membuat konsep yang sama. Disebabkan itu juga muzik genre Oi! berkembang pesat. Antara kumpulan lain yang berkonsep sama adalah Boot-Off, Skin Rovers, Opponent dan lain-lain lagi.
Setelah mengharungi pahit manis bersama, kumpulan A.C.A.B. semakin lama ditinggalkan. Satu demi satu ahli mereka keluar dengan alasan peribadi. Sehingga satu tahap hanya Magskin (Megat Hafiz) yang masih bertahan dalam kumpulan A.C.A.B.
Pada tahun 2001, mereka terlibat dalam album Tribute To Sweet Charity terbitan EMI. Pada waktu ini ahli yang telah keluar kumpulan kembali turut serta untuk mewarnai A.C.A.B. seperti dahulu. Demi nama A.C.A.B., kelima-lima mereka membuka lembaran baru menerusi gig Eastern Oi!
Tahun 2003 bukanlah penamat bagi kumpulan A.C.A.B. ini, Megat Hafiz atau kini dikenali sebagai Max Hafiz kembali di Malaysia dan memulakan rancangan baru untuk A.C.A.B. Nama kumpulan juga telah diubah sedikit dari A.C.A.B. kepada The A.C.A.B. (2006). Genre pun sudah berubah ke arah indie rock dari Oi!.
Pada 9 Mac 2006, mereka melancarkan album baru yang bertajuk This Is The A.C.A.B. bersama ahli yang baru iaitu Max, Eddie, Irfan dan Mono.