Categories
Event Partners

Romantika di House of VANS 2019

House of Vans 2019 adalah satu acara tahunan yang dinanti-nantikan golongan muda terutamanya mereka yang rata-ratanya datang dari underground scene sama ada muzik, seni, sukan lasak mahupun budaya jalanan

House of Vans 2019 adalah satu acara tahunan yang dinanti-nantikan golongan muda terutamanya mereka yang rata-ratanya datang dari underground scene sama ada muzik, seni, sukan lasak mahupun budaya jalanan. House of Vans merupakan sebuah platform untuk mengekspresikan kreatif yang menolak budaya protokol dan menyarankan untuk berimaginasi tanpa sempadan dalam dunia kreatif.

Pada 21 September 2019, House of Vans telah melabuhkan tirainya di Sentul Depot, Kuala Lumpur. Acara yang sentiasa mendapat sambutan yang memberangsangkan telah mula dipenuhi warga ibu kota seawal jam 2.00 petang. Rata-rata yang hadir mula membanjiri di kawasan pendaftaran pintu masuk untuk mendapatkan totebag dan sticker percuma daripada Vans.

Adalah satu momen yang spektakular bagi kami apabila mendapat jemputan dari Vans yang menyediakan tapak booth untuk Rabak-Lit. Dalam kesibukan kami menguruskan jualan buku-buku terbitan Rabak-Lit, kami juga diberi peluang untuk menjadi sebahagian dari ahli Street Market di House of Vans 2019. Amat berpuas hati kerana kami diletakkan sebaris dengan booth yang mempunyai branding dan kehebatan seni mereka sendiri.

Gambar dari twitter akaun @hfzddn__

Vans Malaysia juga telah menaja Nizang selaku Ketua Editor untuk Mosh Zine untuk menghasilkan zine edisi House of Vans 2019. Zine ini telah diberikan secara percuma kepada semua pengunjung yang hadir di booth MOSH zine milik Ahmad Nizam atau lebih dikenali sebagai Nizang. Mosh Zine edisi kali ini lebih memberikan exposure kepada beberapa band tempatan yang mungkin sebahagiannya kurang dikenali seperti Skatanix tetapi masih terus bernafas walau sudah berada dalam scene underground melebihi satu dekad.

Zine yang lain dari yang kebiasaannya (Edisi HOV 2019) diterbitkan oleh Nizang ini adalah hasil sokongan dan usahasama Vans dalam menyebarkan dakyah dan ideologi yang selari dengan temanya; Off The Wall. Pembukaan live performance dengan band indie tempatan adalah satu pilihan yang tepat untuk dijadikan permulaan oleh acara ini. Lebih-lebih lagi meletakkan band Hujan yang mempunyai pengikut yang sememangnya diketahui umum sebagai crowd yang gila. Tenaga yang diberi sungguh mengagumkan baik dari performer mahupun crowd yang hadir pada petang itu. Ia seakan sebuah perbualan dua hala antara Hujan dan fans mereka. Sungguhpun begitu, keadaan tetap terkawal kerana setiap kali show,  Raingers akan bekerjasama dengan abang-abang sekuriti yang bertungkus-lumus memastikan keselamatan penonton dan artis dan segalanya dalam keadaan terkawal. Salut!

Padin Musa, Ikon Skaters Negara bersama Zine edisi HOV 2019.

Di bahagian screening turut ditayangkan dokumentari MASA pada jam 2.00 petang. Satu jam awal sebelum bermulanya live performance band. MASA adalah sebuah dokumentari tentang band punk dari Johor Bahru iaitu Plague Of Happiness. Selain itu juga turut ditayangkan screening Abah&Sons yang menceritakan perjalanan para bikers 150cc ke Terengganu bagi membantu anak tempatan membina miniramp untuk mereka skate di situ. Sesi screening ditutup dengan penayangan dokumentari kumpulan Masdo ke Jalan Abbey (Abbey Road) Satu dokumentari yang eksklusif bagaimana 4 orang anak Malaysia pergi ke studio terkemuka di London untuk merakamkan album demi hasil bunyi yang memuaskan genre Masdo. Perlu kita ingatkan bahawa Abbey Road Studio pernah memberi sentuhan dalam karya-karya allahyarham Sudirman Haji Arshad, bukan sahaja nama jalan yang diterkenalkan oleh band The Beatles. Vans Cinema antara sesi terawal yang menutup acara pada hari tersebut sementara yang lain masih lagi diteruskan dengan energy yang luarbiasaaaa (seperti tagline Masdo).

Gambar dari akaun twitter @mirzaraif

Vans Shop Riot adalah satu platform dimana kedai-kedai skate akan menghantar wakil untuk menyatakan mereka mempunyai skaters team yang mampu bertanding dengan kedai skateskate yang ada diseluruh asia. Sebelum 21 September 2019, beberapa kumpulan skaters telah pun bertanding di beberapa skatepark untuk terpilih sebagai finalis yang akan bertanding pada hari acara House of Vans. Vans Shop Riot juga memberi ruang dan peluang kepada kedai skate untuk membina skatepark mereka sendiri secara DIY. Yang terpilih akan dijadikan platform kepada finalis skaters Vans Shop Riot.

Kembali ke pentas persembahan, usai persembahan daripada Hujan, sebuah band yang baru sahaja memenangi Vans Musician Wanted pada Ogos yang lepas mula mengambilalih pentas. Mafidz dengan mempertaruhkan genre folk-pop kembali meredakan crowd dengan momen yang slow and steady! Terdapat ramai lagi performer yang meneruskan nyawa di atas pentas seperti Sweetass, Pitahati, The Venopian Solitude, Lil Asian Thiccie mewakili hiphop. Vans juga dengan eksklusif telah terbangkan  sebuah band dari Indonesia, Mooner si rockers psychedelic dan ditutup dengan idola Geng Pak Maon, Masdo. Secara keseluruhannya peletakan Hujan di awal dan Masdo diakhir persembahan adalah satu langkah yang bijak kerana kedua-dua band ini mempunyai fans gergasi di dalam industri muzik. Masdo sebagai penutup majlis telah memberikan persembahan yang berkarisma menjadikan acara ini sebuah acara yang meninggalkan memori kepada para pengunjung.

Gambar dari twitter

House of Vans 2019 kali ini telah menjadi sebahagian daripada memori Rabak-Lit. Rabak-Lit akan terus memberi sumbangan dalam kebangkitan arena Skaters negara dimulakan dengan penulisan buku Ikon Skaters dan Vans Malaysia, PADIN MUSA. Projek penulisan ini sudah dikeluarkan kenyatannya oleh lagenda skaters ini sendiri di media sosial miliknya.

Sekiranya berpeluang untuk bekerjasama lagi, kami di Rabak-Lit sangat berbesar hati untuk menerima peluang ini. Semoga berjumpa lagi next event yang superb!

Penulisan dari @aimanaslamXXV