Categories
Film Review

Beautiful Boy Film Review

Film Review.

Background Photo by Marius GIRE on Unsplash


Masalah boleh diselesaikan dengan seketul methamphetamine? Atau apabila mendapat sokongan daripada keluarga sendiri? Atau diri sendiri?

Seperti kisah Nic Sheff dalam filem Beautiful Boy. Nic Sheff sentiasa dicurahkan sifat kasih sayang ibarat ditatang minyak yang penuh. Oleh kerana dia telah membuat satu pilihan yang salah pada suatu masa, kehidupan Nic menjadi terumbang-ambing.

Pada permulaan filem ini, Nic Sheff merupakan seorang lelaki yang memiliki personaliti baik. Dia menceburi pelbagai jenis bidang seperti berlakon, artis, atlet malah menjadi editor kepada surat khabar sekolah. Tidak lama kemudian, segala pencapaian Nic menjadi sia-sia akibat dadah bernama Meth.

Syukur Nic masih mempunyai bapa, David Sheff yang sanggup melakukan apa sahaja untuk anak lelaki beliau. Usaha David menghantar Nic ke tempat rehab setelah Nic mengalami ketagihan pada awalnya berjaya.

Kesemua usaha itu musnah kembali apabila Nic masuk ke alam kolej. Nic mulakan kehidupan baharu seperti orang biasa dan kemudian mempunyai teman wanita. Suatu hari, pada Hari Kesyukuran, dia terjumpa pil di dalam bilik air rumah teman wanitanya dan dia memilih untuk menelan pil itu.

Sekali lagi dia telah mengulangi silapnya yang lepas. Dia tidak mahu duduk di tempat rehab dan terima rawatan yang sama. Dia melarikan diri dari rumah. Kekecewaan David Sheff sebagai seorang bapa terserlah sedangkan segala kasih sayang yang telah diberikan dengan sempurna.

Akhirnya, Nic nyaris terbunuh. Sejak itu, David dan bekas isterinya berbincang untuk menghantar Nic ke tempat rehab. Namun, Nic berjaya melarikan diri sekali lagi. Pada saat itu, David sedar bahawa dia tidak mampu berbuat apa-apa selagi Nic sendiri tidak tekad untuk berubah. David mula tidak endah akan anak lelakinya. Maka, Nic juga terus melawan ketagihannya terhadap Meth.


Filem ini menunjukkan betapa besar pengorbanan seorang ayah terhadap anaknya. Beautiful Boy adalah sebuah adaptasi filem daripada memoir, “David Sheff Tweak: Growing Up on Methamphetamines”.

Nic Sheff telah bertarung nyawa dengan dadah selama 8 tahun. Ini adalah bukti bahawa setiap ketagihan dapat dihentikan namun cagarannya adalah masa. Sokongan daripada keluarga juga amat penting kerana mereka penguat kepada setiap individu. Jangan pernah merasa keseorangan, yakin bahawa ibu bapa akan sentiasa ada untuk kita.


Film review oleh Akmal Nabil

(retrieved from Rabak-Lit’s Twitter, revised)