Saluran radio membicarakan perihal buku-buku alternatif.
Pada petang 22 Ogos 2023 jam 3.00 petang, RabakLit.FM secara rasminya dibuka bersama Rakita.FM. Slot tersebut akan diadakan setiap hari Selasa, dua minggu sekali. Pengacara untuk slot RabakLit.FM dikendalikan oleh Izzat Amir, Ketua Penerbitan Rabak-Lit dan FK Sneakers. Beliau disertai oleh pengacara Rakita iaitu Atoi Tohet.
Topik yang dibualkan hari ini adalah RabakLit.FM, impak kewujudan buku-buku alternatif serta pertandingan sempena bulan kemerdekaan.
Untuk mendengar semula rakaman slot ini, anda boleh lawati podcast tersebut di Rakita.my
Apa itu RabakLit.FM?
Rabak-Literature Publication atau Rabak-Lit telah menerbitkan buku-buku berkaitan bidang muzik, filem dan sastera. Buku-buku ini lebih dikenali sebagai buku-buku alternatif, khas diterbitkan untuk menarik minat golongan remaja.
Isu yang hendak dibangkitkan adalah masyarakat umum tidak mengenali atau mengetahui bahawa terdapat penerbit-penerbit buku di luar sana yang menawarkan bahan bacaan yang berbeza. Melalui RabakLit.FM, para peminat muzik, filem atau pembaca secara umum boleh mempelajari beberapa perkara tentang buku-buku alternatif.
Fungsi RabakLit.FM
“Budak-budak muda tidak gemar membaca buku.”
Kenyataan tersebut berlawanan dengan pendapat Izzat Amir. 15 tahun dahulu, punca kepada isu ini adalah apabila tiada bahan bacaan yang bersesuaian disediakan khas untuk mereka. Buku-buku yang disarankan adalah buku-buku akademik bersifat “berat” dan tidak mudah difahami untuk peringkat mereka.
Atoi menceritakan serba sedikit pengalamannya membaca comic strip sewaktu zaman persekolahan melalui surat khabar dan sebagainya. Kemudian dia akan mencari komik-komik yang mempunyai naratif atau jalan cerita. Minat membaca tersebut hilang selari dengan peningkatan usianya terutama pada waktu alam persekolahan. Namun, kini Atoi lebih mudah memahami membaca buku-buku bersejarah kerana ia bersesuaian dengan usia serta tahap pemikirannya.
Maka, Izzat Amir menyatakan bahawa cara terbaik untuk melatih budak-budak muda untuk kerap membaca adalah dengan menerbitkan bahan-bahan bacaan alternatif. Bahan-bahan bacaan ini boleh meliputi topik, tema atau genre bersesuaian dengan crowd tertentu.
Sebagai contoh, buku-buku muzik diberikan budak-budak gig indie. Sekiranya mereka berminat, mereka pasti akan mencari buku-buku muzik lain. Minat membaca itu sudah terpupuk. Kemungkinan mereka juga akan mula mencari novel oleh penulis-penulis seperti George Orwell dan akhirnya mendalami bidang falsafah secara tidak langsung.
Terlahirnya buku-buku alternatif ini adalah untuk melawan buku-buku arus perdana. Mereka tidak mahu menulis dan menerbitkan buku-buku “berat” yang sudah tersedia di dalam industri.

Kenapa buku alternatif tidak diterima oleh penerbit arus perdana?
Malaysia masih lagi dianggap sebagai sebuah negara yang baharu. Maka, pada waktu itu buku-buku akademik lebih sesuai menjadi keutamaan untuk membangunkan masyarakat negara.
Izzat Amir mempunyai dua jawapan untuk soalan di atas.
- Pihak-pihak tertentu yang mahu mengeluarkan buku-buku berilmu sahaja. Tambah lagi Izzat, idea buku = ilmu itu tidak benar. Buku bukan sahaja menjadikan seseorang itu lebih berilmu tetapi ia juga adalah untuk mendokumentasikan hal-hal seperti bidang seni atau sejarah filem, sebagai contoh.
- Pihak-pihak yang terlalu mahu menyampaikan ilmu akademik sahaja.
Penerbit-penerbit buku alternatif tidak berpegang prinsip seperti penerbit-penerbit kerajaan. Kalau anda mahu menulis buku, anda harus mempunyai latar belakang akademik yang tinggi.
Buku sebagai agenda?
Atoi bertanya akan soalan ini kepada Izzat Amir apabila dia mendedahkan dirinya sempat membaca satu buku yang digam oleh pihak atasan. Menurut Izzat, buku tersebut berkemungkinan mengandungi unsur-unsur ideologi atau falsafah tersendiri yang dipegang oleh penulisnya. Kebiasaannya, buku-buku seakan itu dilarang keras untuk diterbit dan dijual kepada masyarakat.
“Manusia cuba menghapuskan sesuatu perkara yang mereka tidak faham.”
Alternatif menentang arus perdana.
FIXI dan Lejen Press adalah nama-nama “alternatif” yang berjaya memasuki carta arus perdana. Novel-novel mereka tidak fokus pada genre romantik semata-mata tetapi genre misteri, fantasi, seram dan macam-macam lagi.
Keputusan mereka untuk memasarkan novel-novel urban berjaya memberi impak kepada masyarakat. Malah, mereka telah menjadi satu benchmark kepada penerbit-penerbit indie lain.
Top 5 genre pilihan para pembaca (menurut Izzat Amir).
- Inspirasi – atau lebih dikenali sebagai “buku healing”. Dibahagikan kepada dua, iaitu penulisan ringkas (dua hingga empat baris) atau penulisan berbentuk puisi.
Buku inspirasi sering disalah anggap oleh orang ramai kerana kandungannya begitu sedikit. Buku healing menjadi popular sewaktu pandemik Covid-19.
Tujuan buku ini diterbitkan sebegitu rupa adalah untuk mengajak pembaca menulis luahan mereka pula pada ruangan yang disediakan. Situasi paling menarik adalah apabila pembaca membawa buku kepada penulis untuk dikongsikan bersama. - Sejarah – Sejarah amat popular. Buku-buku bersejarah menjadi tarikan setelah buku-buku karya Abdul Latip Talib diterbitkan oleh PTS. Walaubagaimanapun, beliau pernah menerima kritikan kerana menyertakan ‘dialog’ ke dalam situasi-situasi kisah-kisah bersejarah.
Secara am, memang benar bahawa dialog yang dicipta Abdul Latip tidak ‘diungkapkan’ oleh watak-watak tersebut. Siapa sangka dialog yang disertakan telah menarik perhatian hampir kesemua pelajar sekolah untuk belajar tentang sejarah. Bermula dengan membaca novel bersejarah, mereka pasti mahu membaca bahan bacaan yang lebih terperinci dan akademik. Nak lagi best, pembaca akan melawat lokasi-lokasi yang disebut dan mengkaji secara praktikal.
Izzat menggelarkan karya-karya Abdul Latip Talib sebagai ‘Sejarah Alternatif’. Buku-buku tersebut mempunyai penamat yang sesuai mengikuti format penulisan cerita untuk para pembaca muda.
Sejarah Melayu atau Nusantara telah menjadi Top 2 genre buku yang diminati para pembaca. - Self-Help – Buku-buku seperti cara membangunkan bisnes, panduan menjaga anak-anak, tips tentang perkahwinan, petua memasak dan beberapa lagi buku seumpanya.
- Novel – Novel masih lagi popular. Bak kata Izzat Amir, “Takkan mati novel di dunia ini.”
Penulis-penulis seperti Ramlee Awang Murshid dan Siti Rosmiza masih popular termasuk dalam golongan muda. Nama-nama terkenal dalam golongan penulis generasi baharu adalah Nadia Khan dan Syafiq Aizat. - Biografi – termasuk autobiografi. Contoh buku biografi adalah Pemberontak Filem dan Rebel Playlist karya Nasir Jani.
Pertandingan “Merdeka Out Loud!”
- Pertandingan “Merdeka Out Loud!” dibuka untuk umum.
- Anda hanya perlu menyampaikan pandangan anda tentang Hari Kemerdekaan dalam bentuk PUISI. Gaya penulisan adalah BEBAS. Tuliskan apa sahaja anda fikirkan tentang ‘kemerdekaan’.
- Karya-karya anda akan dihakimi oleh beberapa orang juri (masih belum ditentukan) bersama host Rakita.FM dan RabakLit.FM
- Untuk maklumat lanjut, anda boleh check media sosial Rakita.FM.
Buku Tak Mati.
EXTRA!
Lagu-lagu insert yang dimainkan sepanjang slot RabakLit.FM Ep.1
- Suatu Pernah – Fynn Jamal
- –
- Nur – Viona
- Kias Fansuri – M. Nasir
- Selamat Tinggal Dunia – Butterfingers
- Gadisku Dalam Koma – The Times