Program “Panggung Gasok, Seni untuk Menyanggah” (Kuantan, 2022)
Pada awal bulan Julai yang lalu, Rabak-Lit telah mengikuti suatu program di Kuantan iaitu program “Panggung Gasok, Seni untuk Menyanggah” yang berlangsung selama dua hari di dua buah kedai iaitu Kuantan Pickers dan Kedai Kopi serta Warong Pok Teh.
2 Julai 2022
Hari pertama, 2 Julai 2022, program bermula dengan “Sesi Borok Kedai Kopi bersama Namron” sekitar jam 5 petang, selepas azan Asar. Namron atau nama sebenar beliau, Shahili Abdan, merupakan seorang pelakon, penulis skrip dan pengarah filem yang popular dalam industri perfileman Malaysia.
Sesi borak Namron ini lebih bersifat santai (sesi ini diadakan dalam bentuk temu bual antara beliau dengan Wan Zamzahidi sebagai moderator), beliau menceritakan tentang bagaimana beliau menjinakkan diri dengan hal-hal seni sejak kecil. Kemudian, beliau menyebut tentang hari-hari semasa beliau jatuh cinta dengan filem sehingga sanggup menghabiskan wang simpanan di panggung berdekatan. Filem-filem ditontonnya itu dijadikan bukan sebagai bahan hiburan semata-mata tetapi penghargaan kepada seni filem itu sendiri. Beliau sambung sedikit tentang permulaan kerjaya beliau sebagai seorang pelakon teater, menulis skrip untuk filemnya sendiri dan akhirnya meletakkan diri sebagai seorang pengarah.
Apabila menyentuh bab pengarahan filem, Nam Ron meluahkan perihal keadaan semasa industri perfileman sewaktu itu. Kesukaran dari segi bajet, bahan dan macam-macam lagi faktor-faktor yang sepatutnya dapat membantu beliau sebagai seorang anak seni untuk menghasilkan karya-karya. Penindasan daripada sesetengah pihak-pihak luar menjadi salah satu cabaran terbesar kepada beliau dan perkara itu masih berlaku sehingga ke hari ini. Bab ini menarik perhatian Pak Nasir Jani yang turut mengikuti program tersebut untuk membuka satu perbincangan tentang isu-isu serta kesulitan berkaitan industri filem di Malaysia.
Sekitar jam 6 petang, giliran Matyie Abahaydar pula dijemput ke pentas utama oleh moderator, Izzat Amir, bagi sesi pelancaran buku terbaharu beliau yang bertajuk “Kau Percaya Hollywood?”. Buku tersebut mengupas beberapa perihal fakta, falsafah atau kisah di sebalik industri perfileman Hollywood yang kurang didedahkan mahupun disorok daripada pengetahuan orang ramai secara umum. Sebagai contoh yang diberi oleh Matyie adalah filem ‘Titanic’, sewaktu babak penumpang-penumpang berada dalam keadaan panik dan kekecohan apabila kapal Titanic mula karam. Hal yang dikupas adalah kisah sebenar bahawa penumpang kaum lelaki telah mendominasi bot-bot atau alat-alat keselamatan untuk diri mereka sendiri, meminggirkan nasib malang kepada para penumpang kanak-kanak, warga tua serta kaum wanita. Buku “Kau Percaya Hollywood?” adalah buku terbitan baharu daripada Syarikat Radikal.
Program Seni ini diteruskan pada bahagian malam di mana kami berkumpul di Warong Pok Teh (Kg. Tengah) bagi sesi seterusnya iaitu “Tembak Dinding”, sebuah tayangan filem bertajuk Leftwings. Berbekalkan kain putih, projektor, komputer riba serta pembesar suara, panggung kecil itu dibuka di antara Warong Pok Teh dengan sebuah rumah kayu milik salah seorang penonton. Sementara menunggu masa, kami dan para penonton sempat memesan makanan daripada warung. Terima kasih Warong Pok Teh! Filem Leftwings ditayangkan selama sejam lebih.
Filem Leftwings merupakan sebuah filem arahan Faisal Chal (beliau lebih dikenali dengan watak Kuzi dalam Gila-Gila Remaja) dan skrip ditulis oleh Pak Nasir Jani. Filem ini berkisarkan Dino, seorang guitarist menceritakan kisah dia bersama bandmates ingin mencipta nama dalam scene muzik lokal seperti kumpulan rock kapak Wings tetapi terpaksa melalui hal-hal bermasalah seperti tingkah laku vocalist utama yang makin menjadi-jadi, masalah ahli keluarga si bassist dan banyak lagi. Filem ini mula ditayangkan pada tahun 2012, namun ia tidak mendapat sambutan ramai pada ketika itu.
Sesi malam itu menjadi lebih hangat apabila Penghulu Ali bertindak sebagai moderator. Beliau cukup meminati dan menghayati filem Leftwings tersebut (tontonan keempat beliau) jadi beliau meluahkan rasa “teruja” berkaitan seni, arahan, muzik dan macam-macam lagi yang boleh dikupas daripada filem tersebut. Sesi beliau diterima baik oleh para penonton apabila Ali membuka sesi soalan untuk para penonton kepada Faisal Chal serta Pak Nasir Jani tentang pembikinan filem tersebut. Kedua-dua mereka memberi kupasan (berdasarkan soalan-soalan yang diajukan oleh beberapa para penonton) mengenai art production, pemilihan muzik, casting, babak homage kepada pengarah filem Polish-French, Roman Polanski, gabungan kerjasama bersama ahli-ahli Wings dan sebagainya.
Salah satu kata-kata yang menjadi kesukaan serta pengajaran kepada mereka adalah kenyataan Faisal Chal berasa puas, gembira dan lega apabila filem arahannya siap dan lengkap. Bukan satu, dua atau tiga cabaran dan halangan yang mereka lalui sepanjang produksi filem Leftwings tetapi akhirnya beliau berjaya. Itu sahaja sudah cukup bagi beliau.
3 Julai 2022
Program Seni Untuk Menyanggah Gasok bersambung pada hari Ahad dengan sesi “Belek Buku bersama penulis, Nasir Jani” yang bertempat di hadapan kedai Kuantan Pickers. Sesi bermula sekitar jam 10 pagi. Kuantan Pickers dan Kedai Kopi yang dikunjungi ramai pelanggan menjadi satu spot yang menarik bagi menjayakan perjalanan sesi itu.
Pak Nasir Jani ada mengupas beberapa topik berkenaan filem Malaysia dan salah satunya adalah nasib atau masa hadapan industri perfileman Melayu selepas tayangan filem Mat Kilau, arahan Syamsul Yusof. Filem tersebut telah mendapat sambutan hangat dan kini kutipan telah mencapai RM 53 juta (6 Julai 2022, 11.58 p.m.).
Beberapa perbincangan kemudian, salah seorang pengunjung iaitu Usman Gumanti Ibrahim bertanyakan soalan berkaitan “indie”. Kata beliau, pernah suatu ketika dahulu beliau amat membencikan gerakan indie (kini beliau ada turut sertai events indie). Indie yang dimaksudkan ialah gerakan independence, di mana pengkarya-pengkarya samada penulis, pelukis atau sesiapa sahaja bebas melakukan karya mereka secara bebas dan tidak termaktub kepada suatu cara atau mana-mana organisasi. Setelah mendengar perancangan idea pembikinan filem secara indie maka soalan itu diajukan kepada Pak Nasir Jani. Beberapa individu lain turut memberi jawapan termasuklah Roslan Madun:
“Siapa yang cipta label indie, underground dan mainstream ini? Kenapa? Kita sepatutnya hapuskan sempadan dalam scene seni. Saya sempadan negara, bukan negeri, pun saya hapuskan, apa lagi sempadan scene seni.”
Sambung beliau lagi, “Eh, depan kita ni adalah Pak Nasir Jani! Seorang tokoh filem. Kita patut angkat anak seni yang ingin memperjuangkan seni!”
Ucapan beliau disambut baik, diikuti dengan tepukan gemuruh. Scene “indie” ini hanyalah sebuah aksi sesebuah individu atau pihak yang ingin bergerak dengan cara, gaya dan idea sendiri. Selama ini, “Indie” inilah yang sebenarnya membantu menanam serta membangkitkan minat orang ramai kepada idea-idea tersebut, tak kira dari segi bentuk literasi, fesyen, makanan, muzik, fotografi dan sebagainya. Walaubagaimanapun, konsep “indie” ini juga sering disalah faham, especially tentang populariti artis atau bands muzik.
“Band ini tak indie lah”.
Sesi “Belek Buku bersama penulis, Nasir Jani” berakhir sekitar jam 12 tengah hari. Reruai Rabak-Lit dikemaskan sebelum beredar pulang semula ke tanah air masing-masing. Kami ada mengikuti jamuan kecil-kecilan di kedai Kuantan Pickers dan Kedai Kopi. Terima kasih Kuantan Pickers!
Kredit gambar-gambar oleh Faizal Bin Husin @ https://www.facebook.com/faizal.hussin
Penulisan artikel oleh @SerabutYouth (instagram)
One reply on “Panggung Gasok. Seni untuk Menyanggah”
Penceritaan dalam penulisan ini sangat baik. Bagi saya, andai ada antara mereka yang tidak dapat hadir dimana2 slot ketika program ini berlangsung..dengan membaca penulisan ini, mereka mungkin dapat ‘menghadirkan’ diri dalam minda mereka. Penceritaan pendek, tapi padat..terima kasih buat semua yang menjayakan program ini. Moga, ada sinar baru buat pengkarya untuk membebaskan sekatan dalam benak minda..