Categories
Film Review

KAMI: The Movie

KAMI

Background Photo by Marius GIRE on Unsplash


“Hidup ini memang palat, tapi esok masih ada…”

Walaupun sudah 12 tahun sejak filem ini ditayangkan, ramai peminat siri televisyen KAMI yang masih setia menonton sambil mengimbau kenangan remaja mereka.

Filem KAMI: The Movie ini sebenarnya merupakan rentetan daripada siri drama yang ditayangkan di siaran 8TV dibawah arahan Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Isahak, juga selaku penulis skrip.

Filem ini mengisahkan kehidupan sekumpulan 5 orang remaja iaitu Ali (Syarul Ezani), Lyn (Liyana Jasmay), Adii (Ani Zayanah), Abu (Nas-T) dan Sofie (Juliana Evans) yang mempunyai masalah dan rahsia tersendiri dengan satu minat yang sama iaitu gig band muzik indie.

Filem ini merupakan produksi di bawah projek KAMI yang diwujudkan bagi mempromosikan artis muzik indie “underground”. Antara produksi lain yang dilaksanakan oleh projek ini ialah siri drama televisyen bertajuk KAMI – The Series dan KAMI – The Gigs iaitu sebuah siri persembahan muzik sempena siri drama tersebut. Mereka juga mengeluarkan KAMI – The Album iaitu sebuah kompilasi yang menampilkan 15 buah lagu karya pemuzik indie yang digunakan sebagai latar muzik dalam siri televisyen.

Kisah filem KAMI bermula apabila Abu melarikan diri dari pusat pemulihan setelah terlibat dalam pergaduhan dengan penghuni lain sehingga menyebabkan seorang tahanan terjatuh dari bangunan ke tanah halaman. Ali menjemput Abu kemudian bertemu kembali dengan tiga orang rakan karibnya dan bersama meraikan berakhirnya peperiksaan SPM dan zaman persekolahan dengan menghadiri gig band. Di situlah bermulanya perjalanan hidup setiap watak menghadapi konflik masing-masing membentuk sebuah cerita.

Latar filem ini sememangnya mengisahkan minat mereka terhadap muzik indie tetapi ia sekadar berfungsi sebagai pentas cerita untuk menekankan tema persahabatan dan konflik kekeluargaan. Jelasnya, cerita ini banyak menumpukan pada konflik Lyn, Abu dan Ali yang lebih serius bermula dengan kenakalan Abu, pemberontakan Ali dan sejarah hitam Lyn. Latar belakang kisah pencarian Adii dan konflik Sofie dalam membuat keputusan pula tidak memberikan impak yang besar kerana merupakan sesuatu yang hampir semua remaja pernah melaluinya.

Peminat setia KAMI semestinya masih ingat dengan moto: “hidup ini memang palat tapi esok masih ada”. Walaupun slogan ini agak bertentangan dengan pengakhiran kisah Abu, kerana tiada esok lagi baginya. Ia sesuai dengan menonjolkan tema persahabatan di mana Ali, Lyn, Adii dan Sofie meneruskan perjalanan hidup mereka dengan membuat keputusan yang betul pada masa yang akan datang dengan harapan itu yang Abu inginkan. Satu petikan dialog Lyn yang dikatakan kepada Ali:

“Buat benda yang kita minat memang susah, tapi kadang-kadang buat benda yang kita minat pun susah juga”.

Dialog itu merujuk kepada Ali yang bekerja di sebuah agensi pelancongan dan terpaksa meninggalkan minatnya menyertai bandnya sendiri, The Disasters membuat persembahan.

Mahupun kesukaran yang dihadapi Ali adalah ketara, Lyn yang mempunyai minat dalam menulis juga mengalami kesusahan apabila dia rasa bersalah kerana menulis satu kritikan tentang muzik band Ali dalam sebuah majalah, Junk.

Filem ini berjaya memperkenalkan genre rock indie dan menarik minat generasi muda dengan penggunaan muzik band dalam latar belakang dan penampilan band Meet Uncle Hussain. Selain daripada isu negatif seperti pergaduhan dan penyalahgunaan dadah, filem ini banyak memberikan mesej yang positif kepada penonton dengan menggalakan mereka untuk mengejar impian mereka dan menjadi lebih bijak dalam membuat keputusan.


Artikel oleh @_chocobean_

(retrieved from Rabak-Lit’s Twitter, revised)