Categories
Film Review

Into The Wild Film Review

Film Review

.

“Some people feel like they don’t deserve love. They walk away quietly into empty spaces, trying to close the gaps of the past.”

Pada tahun 1992, mayat Chris telah dijumpai di dalam sebuah bas terbiar dalam belantara Alaska. Into The Wild merupakan filem adaptasi berbentuk drama biografi ditulis oleh pengarah Sean Penn.

Filem ini adalah berdasarkan sebuah buku bukan fiksyen dengan tajuk yang sama ditulis oleh Jon Krakauer yang menceritakan tentang kisah benar seorang lelaki bernama Christopher Johnson McCandless, yang turut dikenali sebagai “Alexander Supertramp”.

Emile Hirsch melakonkan watak graduan Emory University tersebut yang menimbulkan kerisauan terhadap ibu bapanya, Walt (William Hurt) dan Billie McCandless (Marcia Gay Harden) apabila dia mendermakan segala simpanan kepada sebuah organisasi antarabangsa yang membantu masalah kemiskinan iaitu Oxfam. Chris amat terdorong oleh keinginannya sendiri untuk menyelami kehidupan dalam alam semulajadi sekilas keinginan untuk menghukum ibu bapanya dengan menimbulkan kegelisahan terhadap mereka.

Dia mendaki ke dalam hutan belantara dengan harapan untuk mencari ketenangan. Dia lari dari tekanan yang dihadapi disebabkan oleh kisah silam dan tipu helah bapanya semasa Chris dan adik perempuannya, Carine (Jena Malone) masih kecil.

Dia berkeras ingin memutuskan segala hubungan bersama keluarganya sehingga mencapai satu tahap dimana dia membuat cadangan untuk menukar namanya kepada “Alexander Supertramp”. Walau bagaimanapun, pendakian Chris berubah menjadi pengembaraan penuh penyesalan dan berakhir dengan tragedi.

Filem ini menghidupkan semula realiti seseorang yang menghadapi suatu konflik yang mungkin juga dialami oleh sesetengah kelompok.

Chris membuat keputusan untuk menjelajah hutan belukar Alaska hanya dengan beg galas yang dipenuhi buku tanpa peralatan lengkap demi mencari tujuan hidup yang baharu. Akan tetapi, dia akhirnya meninggalkan dunia ini dengan suatu pesanan terakhir yang bertulis:

“I have had a happy life and thank the lord. Goodbye and may God bless all!”
.

Ringkas tapi penuh makna, nota itu jelas menunjukkan rasa kesal dan betapa Chris mensyukuri segala yang diperoleh sepanjang kehidupan yang dilalui walaupun ketika berada dalam situasi yang sukar.

Perkembangan jalan cerita filem ini adalah agak perlahan dan mungkin akan menyebabkan penonton mula hilang tumpuan. Ini juga berlaku disebabkan sesetengah adegan tidak memberikan sebarang kesan pada jalan cerita tetapi hanya menambahkan durasi filem tersebut sepanjang 2 jam setengah. Kemungkinan penulis filem ini ingin memastikan adegan dalam filem agar sama seperti di dalam buku dan kisah sebenar. Namun begitu, sesetengah adegan dimana Chris bertemu dengan orang lain tidak menimbulkan impak yang besar kepada penonton. Unsur sebegini berisiko tinggi dalam menjatuhkan momentum yang terbina sepanjang filem untuk pengakhiran cerita. Walaubagaimanapun, pengakhiran cerita dalam filem ini sangat memberi kesan kepada emosi penonton, lebih lagi apabila mengetahui bahawa ianya berdasarkan kisah sebenar.

Saat-saat terakhir kehidupan Chris makin menyayat hati apabila dia mula membayangkan dirinya berpelukan bersama kedua ibu bapanya. Adegan itu menonjolkan suatu ayat yang ditulis oleh Christopher sendiri iaitu “happiness is only real when shared”.

Walaupun mungkin terdapat sebarang cela dalam keaslian jalan cerita filem ini dengan realiti sebenar Christopher, nilai pengajaran dan mesej penulis berjaya disampaikan kepada penonton. Filem ini juga mampu mengubah pandangan seseorang terhadap kehidupan mereka.


Film review by @nisabean

(retrieved from Rabak-Lit’s Twitter, revised)