Categories
Subculture

Bella Ciao: Makna di Sebalik Lagu


Bella Ciao yang bermaksud “Goodbye Beautiful” adalah sebuah lagu rakyat Itali yang telah dicipta pada hujung abad ke-19. Bagi kebanyakkan orang Itali terutamanya terhadap generasi yang lebih tua, lagu tersebut langsung tidak mempunyai sebarang unsur keraian. Sebaliknya, lagu itu menceritakan tentang peperangan yang mampu mengundang memori pahit pada mereka.

Lagu ini bangkit semula dalam era moden pada tiga tahun yang lepas melalui sebuah rancangan drama bersiri Netflix berbahasa Sepanyol yang bertajuk “La Casa De Papel” yang juga dikenali sebagai Money Heist. Sejak itu, ramai artis mula menghasilkan rekaan semula lagu tersebut dengan gaya yang tersendiri mahupun dalam genre rock, punk atau EDM.

Lagu Bella Ciao ini sering digunakan dalam menggariskan watak yang paling penting iaitu Professor, yang merupakan ketua atau dalang dalam merancang aktiviti jenayah seperti rompakan bank. Lagu itu juga sering dimainkan sebagai bunyi latar belakang pada adegan kumpulan penjenayah ini meraikan kejayaan mereka. Ini membukti bahawa lagu tersebut memainkan peranan penting bagi drama Money Heist sehingga dinamakan sebagai lagu tema rancangan tersebut.

Rentak lagu yang semakin rancak mungkin memunculkan suasana yang teruja. Namun begitu, lagu ini banyak berkait dengan sejarah hitam rakyat Itali yang melalui penindasan oleh pemerintahan yang teruk.

Versi lagu Bella Ciao yang terawal dinyanyikan seperti “Alla mattina appena alzata” yang sering dinyanyikan oleh buruh wanita yang bekerja di sawah padi di wilayah utara Itali dipanggil Po Valley. Golongan wanita dari kelas sosial yang paling rendah terpaksa bekerja merumput di sawah tersebut. Pekerjaan ini dpanggil sebagai ‘monda’ dan wanita-wanita tersebut yang dipanggil sebagai ‘mondinas’ akan menyanyikan lagu tersebut bagi mengatasi kesukaran yang dihadapi setiap hari selama beberapa bulan.

Lirik yang dinyanyikan dalam versi yang asal adalah sepertimana membaca sebuah jurnal yang tulis oleh wanita-wanita tersebut menceritakan tentang hari-hari biasa mereka bekerja di sawah. Ia juga tidak mempunyai sebarang kiasan, tetapi lebih kepada penceritaan yang amat berterus terang dan jelas. Seperti contoh, baris dalam rangkap pertama dan kedua “in the morning I got up/ to the paddy fields” dan “insect and mosquitoes” cuma menjelaskan persekitaran di sawah. Kemudiannya, baris “the boss is standing with his cane, and we work with our backs curved” cuma melakarkan situasi dimana terdapat seseorang yang mereka geruni menjadikan mereka terus bekerja dengan penuh kesungguhan. Akhirnya, rangkap terakhir lagu ini jelas melakarkan keinginan untuk kebebasan yang telah lama dipendam oleh penulisnya.

Seorang penulis yang tidak diketahui identitinya telah mengubah lirik lagu pembakar semangat wanita-wanita tersebut menjadi sebuah lagu rasmi yang dinyanyikan oleh ahli partisan pergerakan anti fasisme. Mereka menghadapi kesulitan ketika menentang penaklukan kuasa German Nazi semasa perang dunia kedua dan penentangan pemerintahan fasisme, yang berakhir dengan jumlah kematian melebihi 80,000 orang awam.

Selain daripada luahan perasaan mereka dalam keredaan menanti pengakhiran kehidupan, lirik lagu baharu ini juga sangat jelas tanpa terlalu berkias seperti versi yang asal. Namun begitu, rangkap terakhir lagu Bella Ciao mempunyai ciri yang sama, iaitu keinginan mereka untuk bebas daripada sebarang penindasan, walaupun nyawa mereka digadai.


Konklusinya, lagu Bella Ciao ini sememangnya masih segar dalam ingatan bangsa Itali kerana telah menjadi sumber kekuatan merka untuk menentang penindasan. Walaupun lagu ini banyak dikaitkan dengan sejarah hitam di sana, ia akan sentiasa diingati tanpa mengira zaman kerana ia mempunyai nilai pengajaran yang kurang dijumpai dalam muzik moden.


Artikel oleh @nisabean

(retrieved from Rabak-Lit’s Twitter, revised)