Penulis Rabak-Lit: Mohd Jayzuan

Penulis Rabak-Lit: Mohd Jayzuan

Mohd Jayzuan, sebuah sosok yang sudah lama berada dalam scene Indie underground di Malaysia. Seorang veteran indie rock, penyajak, penulis dan penyanyi lagu, penerbit dan juga seorang pembikin filem. Pernah muncul di kaca televisyen pada tahun 2008 sebagai seorang pelakon dalam ‘Konsekuensi’, iaitu sebuah filem indie. Suatu ketika dahulu juga, beliau pernah bersama sebuah band yang dikenali sebagai Bloodymary dan juga Freelove. Kini, Jayzuan meneruskan perjuangannya secara solo. Walaupun begitu, beliau tetap berjaya membuat banyak persembahan di dalam dan di luar negara termasuklah Singapura, Filipina dan juga Indonesia. Beliau juga telah mengeluarkan satu album yang mengandungi 7 buah lagu.

Beliau juga bergiat secara aktif di Ipoh Perak dengan mengadakan Youth Festival Tahunan iaitu dengan melibatkan persembahan muzik, pementasan filem dan juga pembacaan puisi di tempat-tempat yang terpilih. Beliau telah mula menulis sejak dari bangku sekolah menengah lagi. Bukan kerana dia mahu jadi seorang penulis, namun beliau menulis kerana ingin meluahkan apa sahaja yang terbuku dalam dadanya. Menjadikan ramai penulis Beat seperti Jack Kerouac, Bob Kaufman dan Diane di Prima sebagai inspirasi untuk beliau menulis. Dari sudut muzikal pula, Mohd Jayzuan menganggap Kurt Cobain dan kumpulan Nirvana telah berjaya membuatkan dirinya jatuh cinta pada rock and roll.

Beliau sudah menulis beberapa buah buku dan yang terbaru adalah Jalang Indie Rock. Jalang Indie Rock merupakan sebuah buku tulisan Mohd Jayzuan sendiri dan diterbitkan oleh Rabak Lit yang menceritakan perjalanan hidupnya dalam menggerakkan scene indie underground, sastera dan juga youth culture di tanah air kita. Selain itu, buku ini juga menceritakan bagaimana beliau memulakan karier, zaman ‘gelap’, patah hati dan juga pengakuan-pengakuan yang tidak pernah beliau dedahkan sebelum ini. Seperti yang sudah beliau nyatakan, beliau tidak pernah merancang untuk menjadi seorang penulis, namun kini, sudah banyak hasil karya beliau yang sedikit sebanyak membuka minda sesetengah pihak yang berkecimpung di medan underground. Biarpun beliau tidak beranggapan bahawa jalan pilihan beliau ini “cool”, beliau tetap menikmatinya. Kata beliau, “Art adalah tempat untuk aku melacur”.

Semoga terus berkarya Jayzuan.

No Comments

Post a Comment