BOHEMIAN RHAPSODY” SUARA HATI FREDDIE MERCURY

BOHEMIAN RHAPSODY” SUARA HATI FREDDIE MERCURY

Siapa sahaja yang tidak mengenali kumpulan rock bernama Queen. Queen pernah menggegarkan dunia suatu masa dahulu yang mana setiap lagu mereka pastinya akan menjadi fenomena dan diterima baik oleh semua penggemar muzik lebih-lebih lagi penngemar muzik rock and roll. Antara lagu-lagu mereka yang masih segar dan dapat diterima sehingga kini ialah “Somebody To Love”, “Radio Ga Ga”, “We Will Rock You”, “Bohemian Rhapsody”, “Crazy Little Thing Called Love” dan banyak lagi.

Kebanyakan lagu-lagu Queen ditulis oleh vokalis mereka sendiri, Freddie Mercury. Sesetengah orang berpendapat bahawa setiap daripada lagu mereka ada yang berkait rapat dengan kehidupan Freddie Mercury. Antara lagu yang menjadi perbincangan orang ramai dari dulu sehingga kini ialah Bohemian Rhapsody. Lagu ini telah menjadi fenomena bukan sahaja dari keunikannya yang mempunyai enam bahagian iaitu Intro, Balada, Solo Gitar, Opera, Rock dan Outro, namun mempunyai lirik lagu yang penuh bermakna dan misteri sehingga ke hari ini.

Lirik lagu yang terkandung dalam Bohemian Rhapsody ini sering menjadi bualan dan perbincangan yang mana Freddie sendiri tidak menjelaskan maksud sebenar tentang lirik lagu yang telah dihasilkan olehnya. Namun, terdapat pendapat yang dikeluarkan oleh tunangnya sendiri, Mary Austin yang menyatakan bahawa sebahagian lirik lagu itu mengenai zaman kanak-kanaknya. Akan tetapi, ada juga yang menyangkal pendapat itu dengan memberi pendapat yang
berbeza iaitu maksud sebenar lirik lagu Bohemian Rhapsody adalah tentang status seksualitinya.


Freddie bersama Jim Hutton, kiri & Freddie bersama Mary Austin, kanan

Ada yang berpendapat bahawa Freddie mula menunjukkan sifat biseksualnya bersama Jim Hutton semasa lagu ini ditulis dan pertunangan yang dibinanya bersama Mary Austin mula goyah. Oleh kerana dia tahu status seksualitinya pasti ditentang kuat oleh ahli keluarganya, Freddie menyatakan keadaannya melalui lirik lagu Bohemian Rhapsody. Namun, tiada sebarang bukti menyatakan bahawa pendapat itu adalah benar oleh kerana Freddie sendiri tidak memberitahu maksud yang sebenar lirik lagu ini sehingga akhir hayatnya bahkan ahli kumpulannya juga enggan mendedahkan kisah di sebalik lirik lagu itu demi menghormati Freddie.

Dalam pada itu, muncul lagi pendapat yang mengatakan bahawa lirik lagu ini sebenarnya merupakan adaptasi daripada sebuah novel yang diterbitkan pada tahun 1946 karya Albert Camus yang bertajuk The Stranger. Lirik lagu ini seakan-akan sama seperti situasi yang tertulis dalam sebuah novel itu apabila watak utamanya dikenakan hukuman mati akibat membunuh sedang berbicara dengan ibunya yang sudah mati seolah-olah ibunya masih hidup. Memandangkan ibunya juga diberikan hukuman mati sama sepertinya, dia seolah-olah merasakan apa yang ibunya rasakan pada waktu itu. Masih banyak lagi lirik lagu yang dapat dikaitkan dengan novel tersebut namun ia tidak dapat membuktikan kesahihannya kecuali Freddie sendiri.


Persembahan Queen semasa Live Aid

            Apabila ditanyakan kepada Freddie tentang maksud lirik lagu Bohemian Rhapsody, Dia memberitahu bahawa lagu ini dicipta secara spontan. Freddie ingin pendengar untuk berfantasi dan memahaminya dengan cara mereka yang tersendiri. Walaubagaimanapun, maksud lirik lagu Bohemian Rhapsody tetap menjadi rahsia sehingga kini bahkan tetap menjadi pilihan buat penggemar muzik rock and roll. Lagu dan kumpulan ini kembali dikenali setelah sebuah produksi perfileman mengeluarkan sebuah filem muzikal drama bertajuk Bohemian Rhapsody pada tahun 2018 yang mana menceritakan perjalanan Freddie Mercury bersama ahli kumpulannya, Queen.

“ Kamu boleh jadi apapun yang kamu mahu, caranya cukup dengan ubah diri kamu jadi apa yang kamu boleh jadi”

Freddie Mercury.

Penulisan:

Faiz Salleh

No Comments

Post a Comment