3 Penulis Sastera Tempatan Terbaik Sepanjang Zaman

3 Penulis Sastera Tempatan Terbaik Sepanjang Zaman

Bidang sastera merupakan sesuatu bidang yang boleh dikatakan sangat penting. Hal ini demikian kerana, sesebuah masyarakat tidak dapat dibentuk sekiranya sastera tidak wujud. Identiti sesebuah masyarakat akan menjadi lemah dan tiada asas terhadap pembangunan ideologi. Kita harus berterima kasih kepada para Sasterawan yang terus menghasilkan karya-karya yang membuka minda kita semua. Tidak dinafikan lagi, dek pergerakan arus masa yang kian moden, ada di antara kita yang masih tidak mengenali penulis-penulis sastera yang banyak menghasilkan karya bernas. Berikut merupakan penulis sastera terbaik sepanjang zaman. Salah satunya ialah Dato’ Usman Awang. Dikenali dengan nama penanya iaitu Tongkat Warrant, beliau  mula melakar nama di dalam dunia sastera dengan menulis sajak yang bertemakan kemanusiaan. Antara sajak tulisan beliau adalah “Pak Utih”, “Ke Makam Bonda”, “Gadis Di Kuburan”, dan “Bunga Popi”. Sifat ketokohan yang dimiliki oleh beliau amatlah besar. Beliau seorang yang berani mengkritik sesebuah perkara yang besar telah berlaku dalam negara pada ketika itu. Hal ini demikian kerana, sesebuah masyarakat tidak dapat dibentuk sekiranya sastera tidak wujud.

Seterusnya, Pak Sako ataupun Ishak Haji Muhammad. Aktif pada tahun 30an’ sehingga tahun 50’an, beliau merupakan seorang penulis yang nasionalis. Pak Sako mula terlibat dalam dunia penulisan sejak negara kita masih belum merdeka sehinggalah pascamerdeka. Beliau mempunyai semangat juang yang sangat tinggi dalam penyatuan Melayu Raya iaitu menyatukan Indonesia, Malaysia dan juga Brunei dalam satu serumpun. Pak Sako banyak menghasilkan novel, cerpen, esei serta menulis rencana untuk Kumpulan Utusan Melayu. Karya beliau yang cukup terkenal adalah “Putera Gunung Tahan” dan “Anak Mat Lela Gila”. Dua karya ini merupakan novel satira yang mengkritik orang British dan juga mencerminkan cita-cita beliau sebagai seorang yang patriot.

Tidak lupa juga kepada A. Samad Said iaitu penulis dan penyair negara. Bermula sebagai seorang kerani hospital, A. Samad Said kini telah diiktiraf sebagai Sasterawan Negara dan juga Sasterawan Nusantara. Beliau juga digelar sebagai Pejuang Sastera oleh komuniti kesusasteraan Malaysia. Menggunakan nama pena yang pelbagai seperti Manja, Isa Dahmuri dan Jamil Kelana, beliau telah menghasilkan begitu banyak karya sastera seperti novel, cerpen, puisi, esei dan kritikan serta drama. Karya novel beliau bernama “Salina” adalah cukup terkenal dan bertaraf antarabangsa. Novel ini berlatarbelakangkan sebuah kehidupan masyarakat Melayu Singapura selepas perang dunia ke-2 yang begitu daif. Kehidupan beliau pada masa ini sedikit rumit selepas beliau memilih untuk mengubah haluan politiknya. Semoga selepas ini akan lahirnya lebih ramai lagi penulis sastera dan akan dikenali ramai. Dengan ini, lebih banyak lagi hasil karya yang dapat mengubah ideologi serta persepsi sesebuah masyarakat di samping bidang sastera di negara kita terus terjaga serta dimartabatkan.

ingatan juga kepada kita semua bahawa mata pena dan juga lidah lebih tajam daripada pedang.

No Comments

Post a Comment